Pelawat Blog

Polis terima 2,193 laporan berkaitan BERSIH: Bakri Zinin

KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 2,193 laporan terhadap perhimpunan haram BERSIH yang dirancang beberapa pihak pada 9 Julai ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi, beliau berkata daripada jumlah itu, polis membuka 125 kertas siasatan sejak 6 Jun lalu.

-Berita Harian

GPMS kecewa PAS tunduk dengan desakan DAP


KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku amat kecewa dengan perubahan PAS yang dilihat semakin tunduk kepada permainan politik DAP sehingga dikhuatiri akan menggadaikan hak dan keistimewaan bangsa Melayu di negara ini pada masa depan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, berkata konsep negara berkebajikan yang dilaungkan PAS pada muktamar tahunan ke-57 menggantikan dasar perjuangan mereka selama ini untuk menubuhkan negara Islam, sangat mencemaskan kerana percaya ia akan ditunjangi ideologi DAP.

Katanya, ini berikutan sudah terbukti dalam banyak isu semasa, PAS sering mengambil pendirian hanya akur kepada desakan dan juga dominasi DAP semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya.

Malah, beliau berkata, contoh paling jelas ialah PAS terpaksa bersikap tutup mulut hingga seolah-olah merestui pelbagai tindakan kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP yang menganaktiri dan merugikan orang Melayu di negeri itu.

“GPMS sudah tidak boleh berdiam diri lagi kerana apa dilakukan PAS adalah satu fatamorgana yang mesti dihentikan segera. Memang GPMS melihat DAP jelas akan menunjangi konsep negara berkebajikan ini jika dilaksanakan, sekali gus mendapat keuntungan daripada semua itu.

“Justeru, GPMS merayu PAS supaya berhati-hati dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan supaya tidak diambil kesempatan oleh DAP. Ini kerana PAS dan DAP dalam pakatan pembangkang umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Bagaimanapun, GPMS bimbang kepemimpinan PAS di bawah teraju baru akan semakin memburukkan keadaan kerana dilihat tidak memiliki kekuatan dalam pakatan pembangkang untuk mempertahan atau memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Jais menegaskan, GPMS adalah NGO yang non partisan dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik, sebaliknya bersuara serta bertindak demi mempertahankan kepentingan hak dan keistimewaan orang Melayu serta agama Islam di negara ini.

“Oleh itu, saya hendak meminta kepemimpinan PAS memperincikan apa akan terjadi kepada orang Melayu dalam konsep negara berkebajikan yang mereka bawa ini. Ini kerana dalam keadaan sekarang pun, kaum lain sudah mula mempertikaikan hak dan keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu.

“Diikutkan sepatutnya jika konsep negara berkebajikan ini dilaksanakan oleh PAS, orang Melayu yang wajar mendapat pelbagai kelebihan kerana kita masih terkebelakang dalam pelbagai aspek. Bagaimanapun, saya bimbang dan skeptikal ia akan memperjuangkan hak serta keistimewaan orang Melayu kerana DAP yang cukup rasis sudah tentu menuntut bukan-bukan.

“Ini dapat dilihat daripada sikap DAP yang tidak berpuas hati walaupun kerajaan sudah berusaha berlaku adil kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Kita bukan menafikan hak kaum lain di negara ini, cuma janganlah membawa satu ideologi baru semata-mata atas kehendak politik sehingga akhirnya segala kepentingan orang Melayu tergadai,” katanya.

sumber; berita harian

Plus Ronda Edar Borang Kaji Selidik

KUALA LUMPUR: PLUS Expressways Bhd menaik taraf perkhidmatan mereka melalui penjenamaan semula PlusRonda 1Malaysia dengan melancarkan borang kaji selidik perkhidmatan PlusRonda, semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata pengguna lebuh raya kendalian PLUS Expressways akan diberi borang kaji selidik berkenaan selepas menerima perkhidmatan PlusRonda 1Malaysia apabila mereka berdepan masalah sepanjang pemanduan.
“Bermula hari ini (semalam) kami bekalkan sejumlah borang terbabit kepada pasukan PlusRonda untuk mendapatkan maklum balas pengguna lebuh raya sama ada pujian atau rungutan.
“Kita juga akan muat turun borang berkenaan di internet melalui laman web PLUS bagi kemudahan pengguna memberi maklum balas untuk diambil tindakan susulan,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat operasi PlusRonda 1Malaysia, di sini semalam.

Noorizah berkata, penjenamaan semula ini juga sejajar dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertujuan memberi keutamaan kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini, melalui dua kaedah terdahulu iaitu panggilan telefon dan e-mel, PLUS menerima 52 rungutan dan 46 pujian terhadap perkhidmatan mereka sepanjang Januari 2010 hingga Mei lalu.

Katanya, kaedah terbaru ini membolehkan PLUS memperbaiki sistem perkhidmatan dengan cekap kerana memperoleh maklum balas secara terus daripada pengguna. Secara keseluruhan, PLUS mempunyai 358 petugas PlusRonda 1Malaysia di tiga wilayah dengan 126 kenderaan dan 129 pasukan.

Sementara itu, beliau berkata PLUS juga memperuntukkan RM700 juta setahun, khusus bagi kepentingan lebuh raya kendalian mereka.

“Daripada jumlah itu, RM500 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan RM200 juta bagi naik taraf infrastruktur dan perkhidmatan lebuh raya,” katanya.

sumber: berita harian


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...